Dalam usaha menerapkan kesedaran mengenai tanggungjawab dalam memastikan kelestarian hari esok khususnya kepada siswa-siswi Universiti Sains Malaysia (USM), Desasiswa Indah Kembara (IK) telah melaksanakan pelbagai Program Kelestarian.
Menurut Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa IK (MPDIK) Muhamad Izham Muhamad Noor, antara program yang dijalankan ialah IK Hour selama sejam pada setiap hari Jumaat, IK Robik pada 22 April lalu, dan IK Tanpa Plastik pada setiap Selasa.
“Program ini diharap dapat dijadikan sebagai batu loncatan dalam menyemai dan memupuk semangat ingin berubah demi kesejahteraan dunia bukan hanya untuk masa kini tetapi demi masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, pada awalnya sambutan yang diterima kurang memberangsangkan memandangkan publisiti yang dilakukan tidak menyeluruh.
“Mungkin pemahaman daripada pihak penghuni masih kurang. Jadi pihak MPDIK meningkatkan pengetahuan kepada mereka tentang kesan dan kepentingan program dengan memberi pendedahan melalui poster, risalah dan menerusi laman sosial facebook,” jelasnya.
Menurut Izham, program yang diusahakan ini merupakan salah satu inisiatif demi mendukung wawasan universiti.
“Kami mula melaksanakan program-program ini pada awal April dan akan berusaha untuk memastikan ia terus dijalankan pada masa-masa akan datang kerana ia adalah demi kesejahteraan kita bersama” katanya.