Nurul Hanim menunjukkan Magical Rainbow Candle yang menggunakan minyak masak terpakai bagi menggantikan lilin di pasaran yang mengandungi bahan kimia parafin.
DURIAN TUNGGAL - Siapa sangka, minyak masak terpakai seringkali menjadi bahan buangan ke longkang sebenarnya boleh diguna semula sebagai barangan pengguna.
Hasil inovasi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), minyak berkenaan bukan sekadar menggantikan lilin di pasaran yang mempunyai bahan kimia parafin, tetapi bau wanginya boleh menjadi terapi diri.
Pensyarah, Nurul Hanim Razak berkata, Inisiatif berkenaan selepas melihat minyak terpakai seringkali menjadi bahan buangan, sekali gus menyekat pengaliran air longkang dengan lancar.
“Syarikat air sentiasa memerlukan kos tinggi untuk merawat air yang dipenuhi dengan pelbagai sisa seperti minyak.
“Bukan itu sahaja, penghasilan lilin dengan mudah ini sudah pasti dapat membantu mengumpul dana membantu golongan memerlukan atau menjadi satu bentuk perniagaan membantu ibu-ibu tunggal,” katanya ketika ditemui pada Ekspo Penyelidikan dan Inovasi UTeM di sini, semalam.
Nurul Hanim berkata, produk yang diberikan nama Magical Rainbow Candle itu mendapat anugerah emas tahun lalu daripada Unit Penyelidikan dan Pembangunan negeri sempena pameran sains di UniKL Micet, Alor Gajah.
SUMBER : http://ping.busuk.org/v/404974/minyak-masak-terpakai-boleh-di-jadikan-lilin.html