KEPENTINGAN KITAR SEMULA
Kitar semula merupakan salah satu cara terbaik untuk kita bagi mendapatkan kesan yang positif kepada dunia yang sedang didiami ini. Kitar semula adalah penting bagi kita dan alam semula jadi. Kita perlu bertindak dengan pantas kerana jumlah bahan buangan atau sisa yang di buang oleh kita sendiri semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Jumlah sisa yang dihasilkan adalah semakin meningkat kerana :
- Peningkatan dalam pendapatan/kekayaan yang memberi makna orang ramai membeli lebih banyak produk dan seterusnya menghasilkan lebih banyak sisa .
- Peningkatan populasi bermakna semakin ramai manusia di muka bumi ini yang menghasilkan sisa .
- Pengeluaran produk berteknologi dengan pembungkusan yang terkini di mana kebanyakannya mengandungi bahan yang tidak dapat dilupuskan (bahan tidak biodegradasi).
- Perubahan gaya hidup seperti makanan segera yang menghasilkan sisa /bahan buangan yang tidak dapat dilupuskan seperti pembalut makanan yang dibuat dari kertas minyak.
KEPENTINGAN TERHADAP ALAM SEKITAR
Kitar semula adalah amat penting kerana sisa buangan memberikan kesan negatif yang amat besar kepada alam sekitar semula jadi.
- Penghasilan air larut resap (leachate) dan pelepasan gas metana (methane) yang dihasilkan daripada sisa pepejal yang terurai di tapak pelupusan. Kitar semula dapat membantu mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh sisa pepejal.
- Pemanasan global dan pemusnahan habitat adalah kesan daripada pemusnahan hutan. Kitar semula dapat mengurangkan keperluan terhadap bahan mentah, oleh itu sumber asli seperti kayu balak dapat disimpan dan dikekalkan.
- Tenaga yang besar digunakan apabila membuat produk daripada bahan mentah. Kitar semula hanya memerlukan sedikit tenaga dimana secara tidak langsung dapat membantu dalam mengekalkan pemuliharaan dan pemeliharaan alam semula jadi.
KEPENTINGAN TERHADAP MANUSIA
Kitar semula sangat penting kepada bandar di seluruh dunia dan manusia yang hidup di dalamnya.
- Meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan. Selain itu juga, kebanyakkan kawasan tanah di negara kita didapati kurang sesuai untuk membina tapak pelupusan disebabkan sebahagian besar meliputi kawasan tadahan air.
- Mengurangkan belanjawan kewangan. Menghasilkan produk daripada bahan mentah lebih tinggi kosnya berbanding di hasilkan daripada bahan-bahan kitar semula.
- Memelihara sumber alam semula jadi untuk generasi akan datang. Kitar semula mengurangkan penggunaan bahan mentah dan menggunakan sedikit tenaga berbanding pemprosesan bahan dari sumber asli. Oleh itu alam semula jadi dapat dipelihara untuk generasi yang akan datang.