PULAU PINANG, 28 Mei 2013 - Jika dulu serbuk teh yang telah digunakan hanya untuk baja tanaman, kini ianya digunakan untuk menghasilkan biskut yang berkhasiat, rangup dan sedap. BISTEA mengandungi fiber yang tinggi serta nutrisi yang lengkap. Bagi yang tidak meminati minuman teh, seseorang itu boleh menggantikannya dengan makan tiga keping BISTEA bagi mendapatkan khasiat secawan teh.
BISTEA adalah hasil ciptaan ketua penyelidik Dr. Uthumporn Utra @ Sapina Abdullah daripada Pusat Pengajian Teknologi Industri. Beliau telah memenangi pingat emas di Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke 24 (ITEX 2013) yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre awal Mei lalu.
Seseorang yang makan BISTEA berbanding biskut lain akan kenyang bagi tempoh dua kali ganda sekaligus mengurangkan pengambilan makanan lain yang kurang sihat. Oleh itu, ia amat sesuai bagi yang ingin menurunkan berat badan namun mendapat nutrisi yang mencukupi”, kata Sapina yang berasal dari Satun, Thailand.
Selain fiber, BISTEA mengandungi tenaga, karbohidrat, protein dan lemak yang seimbang serta antioksida bagi penyerapan glukos dalam badan membuatkan ianya sesuai untuk pesakit kencing manis. Bagi setiap 100g, 20.5g adalah fiber yang mana kita hanya tahu terdapat di dalam makanan berasaskan bijiran.
“BISTEA ini menggunakan hampasan teh yang telah digunakan untuk membuat minuman. Ia bukan daripada kedai-kedai makan biasa namun daripada industri pemprosesan iaitu pengilang. Untuk setiap adunan BISTEA, sebanyak 10 peratus daripada adunan tepung adalah hampas teh. Ini bermakna, bagi setaip 1kg tepung, 100g adalah hampas teh yang diperlukan untuk menghasilkan BISTEA,” kata Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dalam sidang media khas memperkenalkan produk diadakan petang ini.
Link : http://www.usm.my/index.php/ms/arkib-berita/11460-daripada-hampas-teh-kepada-biskut-enak.html