PULAU PINANG, 28 Mei 2013 – Dapur gas berliang, inovasi unik ciptaan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) diyakini dapat memberi kemudahan dan nilai tambah kepada pengguna khususnya pada mereka yang gemarkan aktiviti luar seperti perkhemahan dan sebagainya.
Bukan sekadar boleh digunakan untuk memasak, dapur gas yang diubahsuai menggunakan bahan berliang yang lebih dikenali sebagai Porous Medium Stove With Cogeneration itu juga boleh digunakan untuk mengecas alat elektronik seperti telefon bimbit, bateri dan sebagainya.
Menurut Ketua Penyelidik, Prof. Mohd. Zulkifly Abdullah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal (PPKM) USM, dapur gas tersebut mempunyai keistimewaan tertentu termasuk mengurangkan pencemaran gas karbon monoksida.
Selain itu katanya, dapur gas mesra alam tersebut turut memberi penjimatan bahan bakar sehingga 50 peratus berbanding dapur gas konvensional dan turut berupaya menjana kuasa elektrik bagi mengecas alat-alat elektronik termasuk telefon bimbit.
"Dapur ini belum ada dalam pasaran di negara ini dan ia sangat bermanfaat kepada pengguna yang gemar melakukan aktiviti luar khususnya di kawasan perkhemahan yang tidak dilengkapi dengan bekalan kuasa elektrik.
"Dapur gas ini menjana kuasa elektrik melalui termal elektrik yang diperbuat dari seramik. Inovasi ini juga terbukti jauh lebih baik dan ia menghasilkan haba lebih panas berbanding dapur gas konvensional,’’ katanya.
Tambah beliau, inovasi tersebut yang dihasilkan melalui pembiayaan geran penyelidikan termaju untuk penghasilan prototaip (PRGS) boleh diaplikasikan menggunakan pelbagai jenis bahan bakar termasuk gas butana (luaran) atau LPG (dalaman).
Inovasi beliau juga turut berjaya meraih pingat emas dalam 24th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengulas isu pengkomersialan, Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman yang turut hadir mempengerusikan sidang media inovasi itu berkata, rekacipta penyelidik tersebut diyakini dapat menarik perhatian rakan industri ekoran daripada manfaat yang ditawarkan.
Katanya, pihak industri juga sentiasa mencari inovasi-inovasi unik untuk diketengahkan yang mempunyai potensi untuk digunakan secara meluas oleh pengguna-pengguna di negara ini.
"USM sentiasa menyokong usaha penyelidikan para pensyarah dan dalam masa yang sama turut membantu mereka untuk bergelar usahawan melalui usaha-usaha ke arah pengkomersialan.
"Biarpun ia bermula dalam skala yang kecil dengan teknologi yang rendah, namun ia lebih bermanfaat untuk perkembangan penyelidikan pada masa depan dan memberi daya saing kepada produk-produk penyelidikan akademia tempatan,’’ ujarnya.