Baja kompos adalah sebagai alternatif untuk membuat ‘sampah yang mesra alam’ di rumah-rumah dan apartmen serta djadikan baja untuk tanaman. Dalam bidang pertanian, baja kompos adalah teknik penyediaan media tanaman untuk meningkatkan kualiti tanaman dan kesuburan tanah tetapi masih mengekalkan kelestarian alam semulajadi.
Cuma lewat era milenium ini pelbagai teknologi pembuatan sintetik muncul dengan penggunaan bahan kimia yang lebih mudah dikendalikan dan dapat meraih hasil yang banyak pada masa yang singkat. Penggunaan bahan kimia tidak dinafikan memberikan impak dan memendekkan tempoh tuai, namun untuk jangkamasa lama akan meninggalkan pengumpulan sisa kimia dalam tanah, akibatnya kualiti tanah menurun dan menjejaskan kualiti hasil tuaian. Lama kelamaan keadaan ini memaksa penggunaan bahan kimia yang lebih pekat, kerap atau pelbagai.
Salah satu cara yang selamat untuk menjamin keseragaman dan kualiti media yang digunakan adalah menggunakan baja kompos. Media tanaman kompos bermacam ragam dan nisbah campuran, biasanya mengikut jenis tanaman dan keperluannya. Bahan yang biasa digunakan untuk menghasilkan baja kompos adalah sisa buangan makanan seperti nasi, sayur, roti dan boleh dikatakan setiap sisa bahan makanan kita boleh dikitar semula dan dijadikan baja kompos yang jauh lebih murah, selamat dan meningkatkan fungsi biologi tanah. Ia kelihatan mudah tetapi merupakan aspek yang kita terlepas pandang dalam ketamadunan hari ini.
Penggunaan baja kompos dapat menyuburkan tanah dengan meningkatkan kesihatan tanah melalui tindakan mikro organisma atau cacing selain membantu meningkatkan kandungan nutrien dalam tanah kepada bentuk lebih ringkas yang mudah diserap oleh tumbuhan untuk pertumbuhan yang sihat.
Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), dilaporkan pada 2008, makanan yang terbuang adalah menyamai hampir sebahagian daripada pembuangan sisa kumbahan negara. Dalam erti lain, hampir 20,000 tan sisa kumbahan yang dijana setiap hari, 45 peratus daripadanya adalah makanan terbuang. Situasi seperti ini perlu dihentikan segera dan tidak sepatutnya dibiarkan terus berlaku di negara kita, lebih-lebih lagi ketika dunia sedang berhadapan krisis kekurangan makanan ini biarpun rakyat di negara ini hidup dalam keadaan yang cukup mewah dan belum diuji dengan kekurangan makanan serius.