Pada masa kini teknologi pertanian terus berubah. Hasil pengeluaran bukan sahaja dapat ditingkatkan dengan berganda tetapi kaedah penanaman dapat dipermudahkan, mengelak serangan musuh perosak dan kos buruh dapat dikurangkan. Sistem fertigasi ialah satu kaedah pemberian larutan baja kepada zon akar yang diperlukan oleh pokok secara berkesan, tanpa pembaziran dan pencemaran alam sekitar.
Sistem fertigasi sangat sesuai bagi tanaman sayur berbuah seperti tomato, timun jepun, cili merah, terung, melon, cili, sayur, strawberi dan pokok hiasan. Umumnya, tanaman ini untuk kebanyakan tanaman bernilai tinggi di pasaran. Sistem Fertigasi bertujuan untuk mengelakkan tanaman daripada serangan penyakit akar yang disebabkan oleh serangga kulat seperti pythium, fusarium, rhizoton dan penyakit layu bacteria yang berpunca daripada tanah.
Sistem Fertigasi ialah satu kaedah pemberian larutan baja kepada zon akar yang diperlukan oleh pokok secara berkesan tanpa mencemarkan alam sekitar dan pembaziran.
Antara kelebihan Sistem Fertigasi ialah pokok diberi baja dengan sukatan dan masa yang ditetapkan tanpa pembaziran. Dalam Sistem Fertigasi, beberapa peralatan digunakan bagi tujuan mengawal serangga perosak dan merumput dengan membuat Rumah Lindungan Hujan dan jaring kalis serangga. Kaedah ini menyebabkan tenaga buruh dapat dijimatkan. Sistem ini juga tidak menggunakan tanah. Beberapa cara digunakan bagi tujuan menggantikan fungsi tanah seperti cocopeat dan sekam padi.
Kerajaan telah menguar-uarkan tentang aspek memperkasa pertanian baru. Ia bukan sahaja merangkumi aspek pertanian komersial dan bioteknologi, malah turut menekankan aspek pertanian sebagai satu perniagaan. Transformasi ini memerlukan pembudayaan keusahawanan dalam pertanian supaya dapat melahirkan satu generasi usahawan bagi menerajui usaha merevolusikan bidang pengeluaran makanan dalam sektor pertanian.
Kerajaan sentiasa berusaha mencari inisiatif baru dalam membangunkan sektor pertanian dan industri berasaskan tani demi memastikan pembangunan bidang terbabit seiring arus transformasinya. Justeru, pembangunan infrastruktur pertanian juga diberi keutamaan bagi memastikan pengusaha dapat memaksimumkan hasil yang diperoleh dan bergerak ke arah menjadi usahawan tani yang berjaya dan profesional.
Banyak program dan aktiviti dianjurkan bertujuan melahirkan Usahawan Tani supaya mereka menerajui perancangan untuk mengkomersialkan pengeluaran makanan di dalam sektor pertanian bagi menambah produktiviti dan daya saing dalam dunia perniagaan yang kian kompetitif dan global.
Kerajaan mahu supaya golongan petani membuat anjakan paradigma dan menanam dalam minda masing-masing bahawa sektor pertanian harus diuruskan sebagai satu entiti perniagaan. Sesungguhnya, masih belum terlambat untuk anda menceburkan diri dalam bidang yang dianggap satu kaedah menjana pendapatan lumayan. Jadi, apa tunggu lagi. Rebutlah peluang keemasan ini!