Pada 31 Julai 2024, satu pertemuan telah diadakan antara 42 penggerai kafetaria USM dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) untuk membincangkan penambahbaikan dari pelbagai aspek operasi dan kelestarian. Sekretariat Kampus Sejahtera juga terlibat dan telah menekankan amalan lestari di setiap kafeteria Universiti Sains Malaysia (USM).
Penyelaras Kampus Sejahtera, Dr. Normaliza Abdul Manaf menekankan bahawa walaupun terdapat larangan penggunaan plastik sekali guna, beberapa pengusaha kafetaria desasiswa masih menggunakan pembungkusan berasaskan plastik dan hal ini memberi kesan negatif kepada alam sekitar. Kelestarian memerlukan komitmen berterusan dari semua pihak dan agenda kelestarian universiti adalah tanggungjawab bersama.
Di dalam perjumpaan tersebut, penggerai diingatkan untuk mengurus perniagaan mereka dengan berhati-hati kerana perkembangan teknologi dan sosial media yang tidak dapat dijangka dan memastikan isu - isu staf tidak menjejaskan keperluan pelanggan. Pihak BHEPA akan bekerjasama dengan penggerai untuk memperkenalkan kaedah perkhidmatan baru yang memberi manfaat kepada semua pelanggan.
Anggaran sebanyak sembilan bilion tan plastik telah digunakan oleh rakyat Malaysia setiap tahun, kebanyakannya terdapat di tapak pelupusan sampah atau laut.
Pertemuan ini diharapkan dapat mencapai kata sepakat untuk menyokong Pelan Hala Tuju Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna menjelang tahun 2030.
#KampusSejahtera
#syukurselalu
#sayasayangKampusSejahtera
#sayasayangUSM