Pada 14 Ogos 2024, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) telah menjalankan tinjauan secara menyeluruh terhadap pengusaha-pengusaha kafeteria di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mengukur tahap kesedaran dan amalan kelestarian mereka. Aktiviti ini dilaksanakan dengan sokongan skuad lestari, yang terdiri daripada sembilan pelajar serta tiga pegawai pengiring, bagi menilai inisiatif kelestarian di Universiti Sains Malaysia.
Melalui kaji selidik ini, data penting telah dikumpulkan bagi mengenal pasti kekuatan serta kelemahan dalam pelaksanaan amalan kelestarian di kafeteria-kafeteria USM. Data ini akan digunakan untuk merumuskan strategi penambahbaikan yang lebih efektif demi memastikan penglibatan yang lebih menyeluruh dalam amalan kelestarian di seluruh kampus.
Inisiatif ini turut mendapat sokongan moral daripada Profesor Emeritus Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar, bekas Timbalan Naib Canselor BHEPA (1998-2000), yang dilihat membawa bekas makanan sendiri dan tidak menggunakan plastik ketika membeli makanan di Kafeteria Bakti. Tindakan tersebut menekankan kepentingan sumbangan individu dalam menyokong inisiatif kelestarian.
Tinjauan ini bukan sahaja menilai keberkesanan larangan penggunaan plastik sekali guna, tetapi juga bertujuan untuk merancang langkah-langkah penambahbaikan yang mampu meningkatkan lagi amalan kelestarian di kampus USM, ke arah pencapaian matlamat kelestarian kampus yang lebih baik dan holistik.
Tambahan juga, pemantauan buat kali kedua telah diadakan pada 3 September 2024. Pemantauan dilakukan di beberapa lokasi termasuk Kiosk di Hadapan Masjid, Kafeteria Indah Kembara, Kafeteria Tekun dan Kafeteria Restu. Inisiatif ini diteruskan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti setempat mengenai kepentingan pengurangan penggunaan plastik sekali guna yang merosakkan alam sekitar.
Sepanjang program ini, pemeriksaan rapi telah dilakukan bagi memastikan semua pihak mematuhi larangan yang telah ditetapkan, di samping memberikan pendidikan tentang alternatif mesra alam yang boleh digunakan. Usaha ini selaras dengan komitmen untuk menjaga kelestarian alam dan memastikan persekitaran yang lebih hijau untuk generasi akan datang.
#KampusSejahtera
#syukurselalu
#sayasayangKampusSejahtera
#sayasayangUSM